Home Isu Semasa Kerajaan Perlu Dahulukan Usaha Membina Sektor Makanan Untuk Pulih Ekonomi

Kerajaan Perlu Dahulukan Usaha Membina Sektor Makanan Untuk Pulih Ekonomi

503
3

Kerajaan Perlu Dahulukan Usaha Membina Sektor Makanan Untuk Pulih Ekonomi | Tatkala rakyat melangkah ke tahun 2020 dengan pelbagai azam, iltizam dan hasrat baharu untuk direalisasikan, ia berubah sekelip mata dengan penularan pandemik COVID-19.

Rata-rata rakyat mengalami kebimbangan terhadap ancaman pandemik ke atas kesihatan diri mereka dan keluarga tersayang. Sekiranya COVID-19 tidak dirawat pada peringkat awal jangkitannya, ia boleh membawa kepada kematian.

Masyarakat dunia mengiktiraf kecemerlangan Malaysia sebagai antara negara paling berjaya menangani COVID-19 dalam masa begitu singkat.

Selain penghargaan dan pujian negara luar serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita juga boleh berbangga bahawa Malaysia mendahului negara maju seperti Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Perancis, Itali dan Jerman dalam pelaksanaan usaha intensif pencegahan pandemik COVID-19.

makanan

BACA: Tanam Sayur Sendiri Di Rumah Guna Botol Air Mineral. Sayur Tetap Gemuk & Segar

Perlu dinyatakan Malaysia berjaya mengatasi krisis mata wang pada 1998 yang membawa kesan ‘contagion’ dengan tambat nilai ringgit berbanding dolar AS.

Kini Malaysia sekali lagi berjaya menangani kesan sama dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sememangnya tidak dinafikan COVID-19 membawa impak ketara terhadap kehidupan rakyat Malaysia amnya, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Antara impak jelas dalam aspek sosial di mana rakyat mendepani normal baharu dalam kehidupan mereka dengan bersandarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sejak tercetus pandemik COVID-19, landskap ekonomi global dijangka mengalami kelembapan. Berdasarkan laporan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sektor perkhidmatan yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dengan menyumbang sekitar 53.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, disasar meningkat kepada 58 peratus menjelang 2020.

Namun, penetapan sasaran itu dijangka meleset, berikutan impak COVID-19 terhadap ekonomi negara. Tambahan pula, kejatuhan harga minyak dan komoditi dalam pasaran dunia dijangka menekan dan menyesakkan nafas ekonomi negara.

Kerajaan sendiri terpaksa membatalkan beberapa program atau projek kesan COVID-19 seperti pembatalan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Meskipun kerajaan menyediakan ‘jaring keselamatan’ melalui pengenalan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN), termasuk Program Pengekalan Pekerja (ERP) untuk menjamin kelangsungan pekerjaan khasnya bagi golongan B40, isu pengangguran akan tetap timbul sebagai masalah utama dalam negara.

Malah media melaporkan antara dua hingga tiga juta rakyat Malaysia dijangka menghadapi masalah kehilangan kerja berikutan COVID-19. Antara terjejas teruk ialah golongan pekerja dalam sektor minyak dan gas serta pelancongan seperti perhotelan dan penerbangan.

Di samping itu, golongan pekerja kilang dan pekerja pasar malam serta peruncitan turut menghadapi masalah kehilangan kerja. Kehilangan pekerjaan pasti menimbulkan pelbagai masalah sosial termasuk kehilangan pendapatan mencukupi buat mereka untuk menyara kehidupan dengan selesa seperti dinikmati sebelum COVID-19 melanda.

Dalam usaha mendepani era pasca COVID-19, kerajaan sewajarnya memberi penumpuan kepada sektor makanan.

Peralihan ekonomi negara dari sektor pertanian kepada sektor pembuatan menyebabkan hampir dua pertiga penduduk Malaysia menetap di kawasan bandar dan majoriti daripada mereka bergantung kepada makanan import.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia, hampir RM60 bilion dibelanjakan untuk mengimport bahan makanan pada 2019, berbanding RM10.5 bilion pada 1998.

BACA: Malaysia Mesti Bijak Pilih Tawaran 2 Kuasa Besar, Demi Masa Depan Negara!

Memandangkan usaha merangka Belanjawan 2021 sedang berjalan, maka ketika ini kerajaan perlu memberikan perhatian lebih khusus terhadap sektor makanan, terutama pembekalan makanan asas seperti beras, sayur-sayuran dan makanan laut.

Peruntukan khas untuk menyokong dan membantu golongan terbabit sektor pertanian dan perikanan perlu dibuat agar bekalan dapat diperoleh secara berterusan dan mencukupi untuk keperluan rakyat. Dalam pada itu, pihak tertentu, terutama parti politik seharusnya mengelak daripada membangkit isu politik yang boleh mengundang krisis politik tidak berkesudahan.

Sebaliknya, mereka perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik dan bersatu menyokong usaha kerajaan dalam bukan sahaja menangani pandemik yang masih berlarutan, malah mendepani era pasca COVID-19.

Seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena pembukaan rasmi penggal ketiga Parlimen ke-14 baru-baru ini, pemimpin politik disarankan mendahulukan usaha membina semula ekonomi negara daripada terus berbicara politik yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat.

Sumber: Datuk M Periasamy

Penulis adalah Penganalisis politik dan sosioekonomi

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here